<< Assalamualaikum, Selamat Berkunjung Ke Laman Blog Masjid Sg Gulang-Gulang >> << Semoga anda beroleh sesuatu dari laman ini, InsyaAllah >>

short page

Monday 13 June 2016

SEJARAH AWAL MASJID SUNGAI GULANG-GULANG

SEJARAH MASJID KAMPUNG SUNGAI GULANG-GULANG

Idea penubuhan masjid baru Kampung Sungai Gulang-Gulang telah dicetuskan pada tahun 1979  oleh Allahyarhan Tn. Hj. Maskor bin Doljabar ketua kampong ketika itu dan Allahyarhan Tn. Hj. Ehsan bin Hj. Nor Imam Kampung Sungai Gulang-gulang.  Kedua-dua pemimpin ini  merasa optimis tentang pembinaan itu dengan adanya wakaf sebidang tanah seluas 2.5 ekar oleh seorang Hamba Allah di tengah-tengah kampong  dan merupakan kawasan yang strategik sebagai pusat ibadah ahli kariah ini .  Ketua kampong telah bergerak dari surau ke surau untuk memberi penerangan kepada ahli kariah tentang hasrat tersebut dan kaedah bagaimana cara mengumpul dana untuk pembinaannya.  Majoriti ahli kariah telah bersetuju dengan cadangan beliau.

Usaha pengumpulan dana terhenti apabila ketua kampung telah meninggal dunia pada tahun 1998.  Jumlah wang yang terkumpul di dalam bank ketika itu ialah sebanyak RM31,000.00.  Proses awal pembinaan masjid baru juga terhenti kerana tiada pihak yang sanggup meneruskannya.

Pada tahun 2002 Tn. Hj. Mohyi bin Mokmin ketika itu sebagai ketua kampong berusaha membentuk jawatankuasa penaja untuk  melantik jawatankuasa pembinaan yang dipengerusikan oleh beliau sendiri bagi  meneruskan usaha pembinaan masjid baru.  Sokongan beberapa pihak telah menguatkan lagi semangat jawatankuasa pembinaan bagi merealisasikan hasrat ketua kampong yang lalu.

Antara sokongan padu yang diterima ialah daripada wakil-wakil rakyat iaitu   Yang berhormat Dato’ Hj. Noh bin Hj. Omar Ahli Parlimen Tanjong Karang, Allahyarhan Dato’ Aziz bin Mohd. Noh Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang.  Sahibus Samaah Mufti Negeri Selangor telah memberi kebenaran berdasarkan hukum Syarak tentang rancangan perpindahan ke masjid baru dengan syarat masjid lama tetap statusnya sebagai masjid , terus diimarahkan dan diurus dengan baik.  Antara alasan yang menyokong perpindahan itu ialah keselamatan lalulintas di mana kenderaan semakin banyak dan keadaan fizikal masjid lama separuh papan yang telah dibina lebih lima puluh tahun semakin uzur dan  perlu diperbesarkan .  Dengan izin Allah jua Kerajaan negeri Selangor yang dipimpin oleh YAB Dato’ Seri Mohd. Khair bin Toyo telah meluluskan peruntukan sebanyak lima juga ringgit untuk membinaan masjid baru Kampung Sungai Gulang-Gulang.

Wang wakaf sumbangan ahli-ahli kariah dan luar kariah telah digunakan untuk membiayai  pembinaan tapak masjid yang menelan kos sebanyak RM 300,000.00.  Majlis pecah tanah telah disempurnakan oleh Sahibussamaah Dato’ Hj. Abdul Majid bin Omar Timbalan Mufti Negeri Selangor di tapak pembinaan masjid baru.  Cadangan beberapa nama masjid baru telah dihantar kepada Jabatan Agama Islam Selangor iaitu Al Ehsaniah, At Taqwa dan  Al Itqon.



Al Fadhil Tn. Hj. Zinal Abidin bin Sulaiman Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah Kuala Selangor telah hadir ke masjid lama untuk memberi penjelasan kepada ahli kariah tentang  perpindahan ke masjid baru. Beliau juga telah memberi persetujuan tentang beberapa cadangan yang diajukan oleh Jawatankuasa masjid iaitu senarai jawatankuasa kecil pengurusan masjid lama yang dipengerusikan oleh Tn. Hj. Md. Daim bin Tohiyat bekas nazir masjid lama dan aturcara perpindahan ke masjid baru serta pengisian masjid lama selepas perpindahan itu nanti.

Pada hari Khamis 13 Ogos, 2009 bersamaan 22 Saaban,1430H  majlis perpindahan ke masjid baru telah dilaksanakan secara rasmi.  Semua ahli kariah berpuasa sunat hari Khamis manakala pada malamnya bersama-sama mengadakan macaan Yaasin dan solat hajat memohon keridhaan daripada Allah.  Pada hari Jumaat keesokan harinya bermulalah Solat Jumaat yang pertama diadakan di Masjid Baru  Kampung Sungai Gulang-Gulang.

Perpindahan ini tidak menjejaskan aktiviti masjid lama walaupun solat Jumaat tidak lagi diadakan di masjid itu.  Masjid lama telah dibaikpulih . Projek baikpulih masjid lama yang menelan belanja sebanyak RM 97,000.00 telah disumbang oleh orang ramai termasuk Pusat Zakat Selangor.  Kini masjid lama kelihatan semakin ceria dan aktiviti pengajian dan dakwah berjalan lancar.  Semoga Allah mempermudahkan segala urusan ahli jawatankuasa bagi mentadbir kedua-dua masjid kampong ini sebagai lambang syiar Islam dan pusat kegiatan ahli kariah bagi memenuhi tuntutan agama.

Disediakan oleh,

Kamarudin bin Kemis

Setiausaha Masjid /Pembinaan

Masjid Kampung Sungai Gulang-Gulang

No comments:

Post a Comment